" Love would brings you strength and happiness "
Pernah atau tidak kita terfikir bahawa kekuatan dan juga kebahagiaan yang dikatakan tadi adalah atas penderitaan atau penglibatan pihak lain? Setiap perkara yang dilakukan atau tindakan yang diambil dalam proses untuk mengecapi kebahagiaan dan juga kekuatan yang dimaksudkan melibatkan orang lain juga. Kadang kala ianya amat menyedihkan kerana demi mengejar cinta nan satu banyak pengorbanan yang dilakukan samada positif atau pun negatif. Jika pengorbanan tersebut adalah dengan meninggalkan tabiat buruk atau pun tingkah laku yang kurang bertepatan maka ianya adalah sesuatu yang bagus, akan tetapi bagaimana pula sekiranya tindakan yang diambil adalah dengan menyakiti serta mengerjakan perkara jahat? Inilah yang dinamakan masalah emosi di mana seseorang individu tidak dapat untuk mengawal kehendak berdasarkan lunas yang sepatutnya. Tindakan yang diambil merupakan jalan mudah atau jalan terdesak bagi mendapatan apa yang diinginkan.
Perkara yang sebegini tidak seharusnya menjadi ikutan dalam mengejar cinta dan cita. Ini adalah kerana kebijaksanaan seseorang manusia bagi mengatasi rintangan dan permasalahan yang timbul adalah sesuatu yang tidak boleh disangkal. Maka gunakanlah kebijaksaan yang diberikan oleh tuhan dalam menyelesaikan dilema yang dialami. Setiap apa yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya kerana permasalahan yang timbul adalah sesuatu yang diciptakan dan bukanlah sesuatu yang wujud dengan sendirinya. Persoalan tepuk dada tanyalah selera tidak lagi praktikal kerana kemampuan manusia pada zaman kini sudah lagi tidak siuman. Tiap-tiap hari ada saja kematian yang dilaporkan oleh kerana rasa tidak puas hati dan juga gagal memiliki.
Baru-baru ini kita dipaparkan bagaimana seorang pemuda mati dibunuh hanya disebabkan cintanya ditolak mentah begitu saja. Jenayah tersebut dilakukan oleh seorang pemuda yang cintanya ditolak. Dari situ kita dapat lihat bahawa cinta terlarang kini juga sudah berani melakukan sesuatu yang extrem demi memenuhi keperluan diri. Satu lagi cerita adalah mengenai seorang jejaka yang dipaksa untuk minum racun oleh keluarga teman wanitanya dalam usaha mereka menyuruh jejaka terbabit meninggalkan anak perempuan mereka. Ini semua adalah sesuatu perkara yang kian menular dikalangan masyarakat kita pada hari ini. Dalam usaha negara menuju Malaysia Maju 2020, masih lagi terdapat manusia yang terkebelakang di dalam pemikiran dan juga percaturan kehidupan mereka.
Permulaan kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah diambil kira, oleh yang demikian, nasihat jujur saya adalah kepada ibu bapa yang inginkan anak, peliharalah mereka sebaik mungkin. Penuhi keperluan rohani dan jasmani mereka. Pemantauan kepada kehidupan sosial mereka bukanlah beerti menyekat setiap aktiviti yang boleh mengembangkan bakat atau pun potensi yang mereka miliki. Kepada ibu bapa yang kurang memberi perhatian kepada anak-anak pula, anda adalah seorang yang hipokrit dan juga tamak. Jujur dikatakan bahawa andai kata tidak pandai nak menjaga anak maka usahlah buang masa untuk melahirkan mereka ke dunia hanya untuk dicerca dan dipukul. Banyak pil perancang dan juga pencegah kehamilan, gunakanlah ia sebaik mungkin. Jangan digunakan alasan demi mencari sesuap nasi, kebajikan rohani dan jasmani anak-anak diabaikan. Ianya merupakan suatu alasan yang lapuk dan cabuk. Kehidupan keluarga saya menjadi timbang taranya. Dibesarkan oleh seorang penoreh yang terpaksa mencari sesuap nasi untuk suaminya yang buta dan juga anak-anak, bukanlah penghalang bagi ibu untuk memenuhi keperluan rohani dan jasmani kami adik-beradik. Masa tetap diluangkan bersama untuk berkongsi cerita dan juga berjenaka bersama. Hal anak-anak tidak pernah diabaikan dan gerak-geri anak-anak tidak pernah disekat namun begitu pemantauan tetap dilakukan agar tidak terpesong ke jalan yang tersasar. Bukan berniat untuk mengangkat sesiapa namun seharusnya setiap keluarga mempunyai perspektif yang positif dan juga rangkaian di dalam institusi keluarga yang di bina. Jika tidak seperti yang dikatakan tadilah, usahlah gatal-gatal untuk mempunyai zuriat kiranya tidak pandai untuk menguruskan mereka kelak banyak yang perlu dibereskan seperti mana topik yang dibincangkan, cinta manusia.



